SEBANYAK 707 projek perumahan swasta melibatkan lebih 100,000 unit rumah berstatus lewat, sakit dan terbengkalai yang menjejaskan 73,857 pembeli, setakat 31 Oktober lalu.
Demikian data dikongsi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Menurut KPKT, daripada jumlah itu, 212 projek perumahan swasta berstatus lewat melibatkan 35,238 unit rumah dan 25,081 pembeli.
“Sebanyak 382 projek perumahan swasta pula berstatus sakit melibatkan 63,267 unit rumah dan 32,721 pembeli manakala 113 projek perumahan swasta berstatus terbengkalai dengan 30,502 unit rumah dan 16,055 pembeli,” katanya.
KPKT menjawab soalan V Sivakumar (PH-Batu Gajah) mengenai intervensi konstruktif kementerian dalam membantu pembeli dan projek perumahan bermasalan.
Kementerian itu menambah, sebagai usaha konstruktif dengan impak jangka panjang, pihaknya sedang memperhalusi penambahbaikan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 bagi melindungi hak dan kepentingan pembeli yang terlibat dengan projek perumahan terbengkalai.
Katanya, cadangan penambahbaikan itu juga akan memastikan pemerkasaan tadbir urus dan pengurusan pemajuan perumahan selain memudah cara pemajuan perumahan swasta ke arah kelestarian sektor dan industri perumahan.
Jelasnya, satu lagi penyelesaian tuntas bagi isu tersebut adalah melalui penubuhan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST).
“Sejak diinstitusikan pada Disember 2022 sehingga 31 Oktober lalu, sebanyak 862 projek perumahan swasta melibatkan 102,808 unit rumah telah diselesaikan dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM85.82 bilion.
“Sehingga 31 Oktober lalu juga, terdapat 212 projek berstatus lewat, 382 projek berstatus sakit dan 113 projek dalam kategori terbengkalai sedang dalam pemantauan TFST,” katanya.
Katanya, TFST melaksanakan langkah-langkah antaranya bertindak sebagai mediator mencari jalan penyelesaian sama ada menyiapkan projek bersama pemaju asal, pemaju penyelamat atau pelikuidasi sehingga mendapat Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) atau penyelesaian bersama pembeli.
Selain itu jelasnya, TFST mengadakan libat urus bersama pihak-pihak merangkumi kerajaan negeri, Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, agensi teknikal dan pemaju bagi mengenal pasti permasalahan serta jalan penyelesaian bersama.
“Apabila sesuatu projek telah disahkan terbengkalai, pemaju perumahan dan Ahli Lembaga Pengarah Syarikat yang terlibat dengan projek terbengkalai akan disenarai hitam.
“Lanjutan daripada itu, pihak tersebut akan disekat daripada memohon lesen pemajuan baharu dan akaun pemajuan perumahan (HDA) sedia ada akan dibekukan.
“Kerajaan MADANI akan terus berusaha menangani isu projek sakit dan terbengkalai agar nasib pembeli terus dibela dan rakyat terus menikmati perumahan yang berkualiti,” katanya.
Sumber: Wilayah Ku
Comments