top of page

70 individu rugi RM4 juta kena tipu kontraktor


70 individu rugi RM4 juta kena tipu kontraktor
Antara projek rumah mangsa yang tidak disiapkan kontraktor.

70 individu rugi RM4 juta kena tipu kontraktor

KUALA LUMPUR: Impian memiliki kediaman sendiri berbekalkan bajet sederhana selepas sekian lama berjimat cermat mengumpul dana, tidak kesampaian buat hampir 70 individu dari seluruh negara, apabila menjadi mangsa penipuan dan manipulasi syarikat kontraktor di pinggir ibu kota menyebabkan kerugian kira-kira RM4 juta.


Meskipun proses persetujuan pembinaan dan bayaran deposit dibuat menerusi dokumen perjanjian yang ditandatangani bersama, namun sebaik bayaran diselesaikan, kontraktor berkenaan hanya melaksanakan kerja separuh jalan sebelum meninggalkan tapak binaan.


Selain meninggalkan tapak dalam keadaan separa siap, ada juga projek tidak dilaksana mengikut jadual yang dipersetujui selepas deposit dibayar, selain ada yang langsung tidak dimulakan.


Ada juga kes, apabila pelanggan 'mengugut' membatalkan projek itu, kontraktor yang sebelum ini hanya mendiamkan diri apabila diasak pelbagai pertanyaan, secara tiba-tiba menghantar bekalan seperti simen dan pasir ke tapak projek, bagi menggambarkan pembinaan akan dimulakan tidak lama lagi.


Selain itu, ada juga situasi di mana syarikat kontraktor terbabit memberi pelbagai alasan bagi mendorong pelanggan membatalkan projek supaya mereka dapat mengenakan pelbagai caj seperti termaktub dalam perjanjian awal.


Kaedah itu adalah di antara modus operandi digunakan syarikat kontraktor terbabit untuk menipu orang ramai yang sehingga menyebabkan mangsa kerugian mencecah hampir RM4 juta.


Wakil kumpulan mangsa kontraktor terbabit, Rozly Mungit, 58, mendakwa kebanyakan daripada mereka sudah membuat pembayaran di antara RM7,000 hingga RM270,000.


"Untuk kes saya, perjanjian adalah pembinaan rumah di tanah kosong yang dianggar bernilai RM166,000. Perjanjian mengatakan rumah ini akan siap dibina dalam tempoh enam bulan, namun memasuki bulan kelima hanya tapak konkrit rumah sahaja mereka bina.


Ubah tanpa persetujuan

"Jadi tidak logik bila sudah memasuki bulan kelima baru mereka nak mulakan kerja, memang tidak akan siap la seperti tarikh yang dipersetujui. Malah bahan binaan di rumah pun tidak sama seperti dijanjikan dan dalam perjanjian sendiri spesifikasinya diubah tanpa sebarang persetujuan," katanya kepada BH, semalam.


Rozly berkata, pada mulanya beliau enggan mengambil pusing dengan kejadian itu kerana sudah mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat terbabit, namun anaknya memuatnaik mengenai penipuan dialami di Facebook.


Selepas isu itu dimuat naik, satu persatu mangsa tampil mengaku menjadi mangsa syarikat kontraktor berkenaan. Malah, ada di antara mangsa adalah warga emas yang mengeluarkan dana daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membina rumah idaman.


"Ada juga yang gunakan duit pampasan kemalangan dan kini tidak lagi bekerja kerana orang kurang upaya (OKU) dan semua ini menyedihkan saya," katanya kepada BH.


Setakat ini, berdasarkan maklumat dikumpul mereka menerusi perkongsian di Facebook, seramai 67 individu tampil mengaku menjadi mangsa penipuan syarikat kontraktor yang sama.


Ketika ini syarikat terbabit masih giat mencari pelanggan menerusi media sosial dengan menggunakan pelbagai nama, tanpa menghiraukan pelbagai kecaman mereka yang menjadi mangsa perbuatan mereka selama ini.


Rozly berkata, kebanyakan mangsa juga sudah membuat laporan polis serta memfailkan tuntutan menerusi Tribunal Tuntutan Pengguna.


Katanya, ada juga di antara kes dibawa ke mahkamah oleh pihak tribunal bagi mendapatkan semula wang yang sudah dibayar pelanggan, namun sehingga kini syarikat kontraktor itu tidak mengendahkan tuntutan berkenaan.


"Malah, ada juga mangsa menerima surat daripada kontraktor berkenaan yang memaklumkan sudah gulung tikar, namun tidak dinyatakan mengenai nombor rujukan kes berkaitan hal berkenaan.


"Pihak itu mendakwa keputusan itu dibuat Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2 Jun lalu dan pelanggan hanya diberi kata dua, sama ada membina rumah itu menggunakan kos sendiri atau meneruskan projek dengan syarikat yang menggunakan nama lain tanpa sebarang kos tambahan," katanya.


Sumber: Berita Harian


70 individu rugi RM4 juta kena tipu kontraktor


Comments


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page