DIANGGARKAN sebanyak 2.78 juta orang mati disebabkan oleh kemalangan dan penyakit pekerjaan di tempat kerja setiap tahun.
Sebanyak 2.4 juta daripadanya adalah kerana penyakit berkaitan pekerjaan.
Kemalangan di tempat kerja juga dipercayai telah mengakibatkan lebih 374 juta orang mengalami sakit atau kecederaan.
Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (International Labour Organisation – ILO), 7500 orang mati setiap hari disebabkan oleh keadaan tempat kerja yang tidak sihat dan selamat.
6,500 kematian adalah kerana penyakit berkaitan pekerjaan, manakala 1,000 kematian lagi disebabkan kemalangan pekerjaan ditempat kerja.
Selain daripada kecederaan, sakit dan kematian, kemalangan di tempat kerja juga turut memberikan impak negatif terhadap ekonomi dan produktiviti.
Dianggarkan bahawa hari kerja yang hilang disebabkan kemalangan tersebut secara global mewakili hampir 4 peratus daripada KDNK dunia.
Manakala di beberapa negara, ia meningkat kepada 6 peratus atau lebih.
Bermula tahun 1996, kesatuan sekerja di seluruh dunia menetapkan 28 April bagi memperingati mangsa yang terlibat dalam kemalangan dan penyakit pekerjaan di tempat kerja.
Namun pada 2003, apabila ILO dijemput oleh kesatuan sekerja untuk turut terlibat dengan sambutan tersebut, ia telah diisytiharkan sebagai Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja.
Sejajar dengan perubahan arah dan matlamat yang ingin dicapai dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja, ianya disambut bertujuan mempromosikan pencegahan kemalangan dan penyakit pekerjaan di tempat kerja.
Di Malaysia, majlis sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di tempat kerja ini juga telah menjadi salah satu agenda tahunan bagi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP).
Pihak kerajaan, majikan dan pekerja sesebuah organisasi di seluruh negara digalakkan untuk menyambut hari tersebut dengan melaksanakan aktiviti peningkatan kesedaran untuk mempromosikan pencegahan kemalangan dan penyakit pekerjaan di tempat kerja masing-masing.
Hal ini adalah selaras dengan iltizam ILO dalam menjamin persekitaran kerja selamat untuk semua pekerja menjelang tahun 2030.
* Mohd Soffian Osman merupakan Perunding Keselamatan & Kesihatan Awam, Safety Management Academy Sdn. Bhd.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Sumber: Astro Awani
Comments