top of page

6 RTB akan dilaksanakan di Johor tahun ini


Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Johor
Gambar hiasan: Suasana banjir di beberapa buah negeri

Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Johor

Iskandar Puteri: Enam Rancangan Tebatan Banjir (RTB) akan dilaksanakan di Johor menjelang hujung tahun ini.


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K Raven, berkata isu banjir serta RTB adalah topik mendominasi yang dibangkitkan kesemua 56 Ahli Dewan pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor, kali ini.


Katanya, ia susulan bencana banjir besar antara terburuk yang melanda negeri ini sejak 28 Februari lalu sehingga 85,000 rakyat terjejas dengan nilai kerugian amat besar.


"Sebanyak enam RTB akan dilaksanakan menjelang hujung tahun ini dengan empat projek bermula September ini manakala dua lagi dimulakan Disember nanti.


"Empat RTB yang akan dimulakan September ini adalah RTB Kampung Sungai Loi, Segamat (dua tahun tempoh pembinaan), RTB Sungai Batu Pahat dan RTB Sungai Batu Pahat-Sri Medan (tiga tahun) serta RTB Lembangan Sungai Kesang, Muar (tiga tahun).


"Dua RTB yang akan mula dibina Disember nanti ialah RTB Sungai Pemandi, Kota Tinggi (lima tahun) dan RTB Lembangan Sungai Johor Fasa 1, Kota Tinggi (lima tahun).


"Projek mengatasi banjir di Kampung Sungai Kapal Lama, Kota Tinggi pula akan mula dibina tahun depan serta mengambil tempoh dua tahun untuk disiapkan," katanya ketika sesi penggulungan pada Sidang DUN Johor, di sini, hari ini.


Pada 5 Mac lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan mengarahkan semua projek RTB bernilai RM600 juta ke atas supaya diluluskan dan disegerakan mulai Jun ini.


Perdana Menteri dilaporkan berkata, keputusan kerajaan menyegerakan projek RTB itu bagi mengelakkan bencana banjir berulang semula sekali gus menjejaskan rakyat.


Sementara itu, Raven berkata, kerajaan Johor telah mengambil langkah bagi mengepam keluar air banjir yang bertakung atau digelar banjir termenung, yang melanda beberapa kawasan terjejas terutama Batu Pahat.


"Sehingga kelmarin, 69 unit pam bergerak sudah ditempatkan di tujuh daerah terkesan, dengan Batu Pahat paling banyak iaitu 41 unit pam.


"Saya mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan terima kasih kepada ibu pejabat JPS selain Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor,


Negeri Sembilan, Terengganu dan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (Nahrim), yang menghantar pam bergerak bagi membantu kita mengepam keluar air bah termenung," katanya.


Sumber: Harian Metro


Comments


bottom of page