top of page

58 projek pembangunan semula sekolah usang berjaya disiapkan


UNTUK ALBUM: Sagah bersama dua timbalan menterinya, Datuk Dr Annuar Rapaee dan Datuk Francis Harden Hollis merakam kenangan dengan warga kementerian beliau pada Persidangan DUN hari ini. - Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Sebanyak 58 projek melibatkan pembangunan semula sekolah usang di Sarawak yang dibiayai melalui program bayaran pendahuluan RM1 bilion telah berjaya disiapkan setakat ini.


Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, inisiatif ini telah memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 pelajar yang kini menikmati akses kepada kemudahan pembelajaran berkualiti.


“Salah satu inisiatif paling signifikan di Sarawak adalah pembangunan semula secara menyeluruh bagi sekolah-sekolah yang usang melalui program bayaran pendahuluan RM1 bilion.


“Sehingga kini, kita telah berjaya menyiapkan 58 projek, memastikan kira-kira 10,000 pelajar mendapat akses kepada kemudahan pembelajaran berkualiti,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementerian beliau pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.


Sagah turut memberitahu, Sarawak telah membangunkan semula tiga sekolah melalui inisiatif Projek Rakyat dan 28 sekolah lagi di bawah projek Agensi Pembangunan Wilayah Utara.


Secara keseluruhannya, kata beliau usaha ini telah memberi manfaat secara langsung kepada hampir 9,000 pelajar.


“Sebagai sebahagian daripada komitmen kita untuk meningkatkan kualiti infrastruktur pendidikan di Sarawak, saya dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa pada 22 Jun 2024, Premier Sarawak telah mengumumkan Projek Bayaran Pendahuluan RM100 juta untuk menangani sekolah-sekolah usang.


“Projek ini telah mendapat kelulusan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.


Menurut beliau, projek ini menyasarkan 16 sekolah yang dikenal pasti bersama oleh kementeriannya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS).


Senarai projek ini katanya, memberi keutamaan kepada sekolah yang dikategorikan tidak selamat (Skala 6 dan Skala 7) dengan tempoh pelaksanaan 18 bulan.


Selain itu katanya, Sarawak telah menerima RM50 juta pada bulan Julai yang disalurkan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada JKR Sarawak untuk kerja-kerja operasi, penyelenggaraan dan penambahbaikan di 217 sekolah dengan jangkaan siap dalam tahun ini.


“Namun, ingin saya menegaskan bahawa RM50 juta yang disalurkan melalui KPM kepada JKR Sarawak bukan sebahagian daripada peruntukan RM100 juta.


“Skop kerja bagi dana RM50 juta ini hanya melibatkan penyelenggaraan dan naik taraf kecil, bukannya pembangunan semula sekolah usang,” jelas beliau.


Meskipun pendidikan adalah urusan kerajaan persekutuan, Sagah berkata Sarawak sentiasa mengambil langkah proaktif dengan melaburkan sumber yang besar untuk menangani jurang dan memberikan sokongan yang diperlukan bagi meningkatkan mutu sekolah-sekolah di negeri ini.


“Kementerian saya tetap komited sepenuhnya untuk meningkatkan infrastruktur sekolah demi keselamatan dan kesejahteraan pelajar serta kakitangan.


“Kita tidak akan berhenti berusaha sehingga semua isu berkaitan sekolah usang diselesaikan dengan berkesan, memastikan sekolah-sekolah kita menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pembelajaran,” katanya.


Comments


bottom of page