KOTA BHARU: Separuh daripada 86 projek perumahan di Kelantan dikenal pasti bermasalah, tertinggi berbanding negeri lain yang merekodkan sekitar 15 peratus sahaja.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata di Kelantan sahaja 44 daripada 86 projek perumahan yang sedang berjalan bermasalah dan keadaan ini luar biasa berbanding negeri lain.
"Masalah itu sama ada projek berdepan kelewatan atau projek sakit. Ia kemungkinan berpunca daripada pihak pemaju, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pembekal.
"Ini menjadi satu kebimbangan kerana dari jumlah projek, ia tidak sebesar negeri lain namun saya melihat aspek kesan kepada pembeli. Peratusan di Kelantan jauh lebih tinggi berbanding negeri lain hanya 15 peratus.
"Justeru, pada bulan lalu ketika saya datang ke Kelantan, saya sudah mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri dan mencadangkan supaya menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani masalah ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Jelajah MADANI di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Tumboh, di sini, hari ini.
Pada masa sama, katanya, sebanyak 43 projek perumahan di Kelantan juga direkodkan tidak berlesen.
"Ini berdasarkan aduan yang diterima daripada pembeli yang membuat laporan kepada kementerian apabila rumah yang mereka beli terbengkalai.
"Apabila pembeli merujuk kepada kementerian dan kita membuat semakan mendapati projek terbabit tidak berlesen yang menyebabkan tindakan susulan sukar diambil.
"Malah jumlah ini juga agak tinggi dan kita berharap pembeli dapat membuat semakan terlebih dahulu sebelum menjadi mangsa kepada projek perumahan tidak berlesen," katanya.
Sumber: Berita Harian
50 peratus daripada 86 projek perumahan sedang berjalan di Kelantan bermasalah
Comments