top of page

5 daripada 12 projek River of Life dalam pra-pelaksanaan dibatalkan - Dr Zaliha


Lima projek dibatalkan kerana kurang signifikan bagi mencapai objektif pelaksanaan River of Life. (Lokasi: Sg Klang, Stesen Pasar Seni)

KUALA LUMPUR: Lima daripada 12 projek River of Life yang masih dalam peringkat pra-pelaksanaan dibatalkan selepas didapati kurang signifikan bagi mencapai objektif pelaksanaannya.


Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa selepas penelitian dilakukan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).


"Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) telah meneliti 12 Projek River of Life yang masih dalam peringkat pra-pelaksanaan agar hanya projek signifikan akan diteruskan.


"Oleh itu, lima projek telah dibatalkan kerana kurang signifikan bagi mencapai objektif pelaksanaan Rivel of Life, manakala tujuh projek lagi akan diteruskan agar objektif awal projek iaitu pengindahan dan pembersihan sungai dapat dicapai," katanya melalui jawapan bertulis yang disiarkan melalui laman web Parlimen.


Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-SIK) mengenai tindakan susulan terhadap 12 projek River of Life yang masih dalam peringkat pra-pelaksanaan, seperti mana dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.


Projek River of Life adalah salah satu projek penggerak (EPP) di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Greater Kuala Lumpur/Klang Valley yang bertujuan mentransformasikan Sungai Gombak dan Sungai Klang kepada sebuah ikon waterfront yang dinamik dan berdaya huni dengan nilai ekonomi yang tinggi.


River of Life terdiri tiga komponen utama iaitu pembersihan sungai, pengindahan sungai dan pembangunan tanah.


Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata proses perolehan bagi baki tujuh projek yang akan diteruskan itu sedang disediakan agensi berkaitan supaya ia berjalan lancar dan risiko pelaksanaan projek diambil kira sepenuhnya.


"JWP bersama agensi pelaksana sentiasa komited agar pelaksanaan projek yang telah digariskan dalam River of Life menepati objektif awal yang ditetapkan.


"Kerjasama semua pihak bagi mengimbangi kelestarian kebersihan dan keindahan sekitar Sungai Gombak dan Sungai Klang amat diperlukan bagi menjayakan hasrat Sungai Nadi Kehidupan," katanya.


Comments


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page