top of page

5,650 pemilik pangsapuri kos rendah dapat kediaman baharu


5,650 pemilik pangsapuri kos rendah dapat kediaman baharu.
Dr Wan Azizah turun padang meninjau tapak Projek Penswastaan Pembangunan Semula Pangsapuri Kos Rendah di Pangsapuri Sri Melaka hari ini

5,650 pemilik pangsapuri kos rendah dapat kediaman baharu.

KUALA LUMPUR: Seramai 5,650 pemilik unit kediaman daripada empat blok pangsapuri kos rendah di Parlimen Bandar Tun Razak akan memiliki kediaman baharu yang kini sedang dalam proses pembinaan.


Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata pemilikan unit baharu itu adalah untuk menaik taraf kehidupan dan memberi lebih keselesaan kepada penduduk berikutan kediaman lama dianggarkan menjangkau usia 50 tahun.


Katanya, selain itu unit baharu berukuran 850 kaki persegi itu juga akan dilengkapi dengan fasiliti asas seperti lif, surau, dewan, tadika dan taman permainan dan sebagainya.


"Sebelum ini unit lama adalah kecil iaitu dalam ukuran 550 kaki persegi dan hanya mempunyai dua bilik, berbanding unit baharu iaitu tiga bilik.


"Pemaju akan membina secara berperingkat dan dijangka fasa pertama akan diduduki penduduk pada tahun 2026 kerana proses pembinaan mengambil masa kira-kira empat tahun.


"Kemudian unit lama akan diruntuhkan dan dibina pula fasa kedua yang dijangka siap pada tahun 2030," katanya ketika melakukan tinjauan kemajuan pembangunan Projek Penswastaan Pembangunan Semula Pangsapuri Kos Rendah Sri Pulau Pinang, Sri Melaka, Sri Johor dan Taman Ikan Emas, di sini, hari ini.


Projek yang menelan belanja sejumlah RM1.19.bilion itu dilakukan di atas kawasan berkeluasan 55.94 hektar.


Projek ini juga akan membabitkan pembinaan jalan raya, kawasan terbuka bagi kegunaan komuniti beriadah dan aktiviti kemasyarakatan.


Dr Wan Azizah berkata, beliau berpuas hati dengan perkembangan pembinaan yang disifatkan cepat berbanding jadual ditetapkan.


"Saya amat berpuas hati dengan proses perkembangannya dan kita akan tengok dari masa ke semasa.


"Kemudahan yang diberi ini adalah selaras dengan elemen Insan Malaysia Madani yang menekankan aspek keprihatinan dalam menyelesaikan masalah penduduk B40 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," katanya.


Sementara itu Pengerusi Sub Zon 1, Hanafiah Md Amin, berkata penduduk di sini sekian lama menantikan pembangunan baharu berikutan sudah menduduki unit itu sejak tahun 1984.


Katanya, selari dengan peredaran zaman, penduduk yang hampir 80 peratus terdiri daripada kumpulan B40 juga perlukan perubahan.


"Projek ini sebenarnya sudah tertangguh sejak empat kali Pilihan Raya Umum (PRU) dan kali ini, kerajaan baharu dapat merealisasikannya.


"Cuma selaku penduduk di sini juga, saya ingin menyuarakan sedikit luahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menawarkan unit ini secara percuma memandangkan hampir semua penduduk dari kumpulan B40.


"Ada yang sudah pencen dan tidak bekerja lagi. Jika sebelum ini, bayaran unit lama ialah RM124, jika boleh beri sedikit keistimewaan kepada penduduk yang sekian lama bermastatutin di sini," katanya.


Berdasarkan perjanjian dengan kerajaan terdahulu, difahamkan harga ditawarkan unit baharu kepada penduduk bernilai RM28,000.


Sumber: Berita Harian


5,650 pemilik pangsapuri kos rendah dapat kediaman baharu.


Comments


bottom of page