Sekinchan: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggandakan usaha untuk menutup 300 tapak pelupusan sampah haram di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.
Menterinya berkata, ia bertujuan mengelakkan ancaman terhadap kualiti alam sekitar, terutamanya semasa musim panas.
KPKT melepasi sasaran dengan menutup 128 tapak sampah haram, berbanding 100 yang disasarkan sebelumnya.
"Tahun ini, kita sasar 300 tapak pelupusan sampah haram ditutup, khususnya di Selangor, kerana banyak kawasan industri. Tiada kompromi berhubung kebersihan serta kualiti alam ini.
"Kita akan memaklumkan status perkembangan apabila kerja siap (jumlah penutupan tapak pelupusan sampah haram) dalam masa terdekat," katanya.
Perbincangan akan dilakukan khususnya dengan Kerajaan Selangor berhubung pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Menurutnya, ia bertujuan mengukuhkan strategi bagi mengelakkan pembuangan sampah haram dengan membabitkan kontraktor-kontraktor dilantik bagi pembuangan sampah industri.
"Ini supaya penyelesaian terbaik (membabitkan kontraktor haram) dalam mengatasi masalah kronik (tapak sampah haram) yang sudah berlarutan lama dan bukannya berlaku (sejak) hari ini," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berada di tahap tertinggi untuk operasi pemadaman disebabkan cuaca panas.
"Tahun ini, KPKT diberi peruntukan tambahan, khususnya kepada JBPM, sebanyak RM46.15 juta bagi membeli peralatan dan perolehan.
"Pembakaran terbuka perlu dihentikan terutama pada musim panas ini," katanya.
Sumber: Harian Metro
Comments