top of page

3 projek mega bakal angkat Perak antara negeri utama negara - PM


3 projek mega bakal angkat Perak antara negeri utama negara - PM
Gambar hiasan

3 projek mega bakal angkat Perak antara negeri utama negara - PM

Ipoh: Tiga projek mega bakal mengangkat Perak sebagai antara negeri utama dalam pertumbuhan ekonomi negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Meluahkan keyakinan, Anwar berkata tiga projek berkenaan yang berpangkalan di Perak iaitu Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) Tanjung Malim, Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) dan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian, akan membantu ekonomi negara muncul hebat di Asia.


"Ketimbang (berbanding) Johor, Pulau Pinang dan Selangor, Perak sedikit terkebelakang, tetapi dengan program dan penekanan yang diambil pasukan (Menteri Besar Perak Datuk Seri) Saarani (Mohamad), kita percaya dalam beberapa tahun lagi, Perak akan muncul negeri utama di negara ini.


"Tadi, saya diberitahu masih ada lebih kurang 4,000 orang yang dalam kategori miskin tegar di Perak, tapi kita yakin dengan kegigihan pasukan Menteri Besar, Perak akan noktahkan kemiskinan tidak lama lagi," kata Anwar.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani 2024 Bersama Perdana Menteri di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) di Meru Raya di sini hari ini.


Turut hadir Saarani, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki serta 300 pelajar KPTM.


Anwar berkata, pelaburan dari luar ke Malaysia membuktikan suara lantang kerajaan terhadap isu kemanusiaan tidak menghalang pelabur daripada terus menabur kepercayaan terhadap ekonomi Malaysia sekali gus mengangkat semula negara sebagai negara hebat di Asia.


"Kerana apa? Kerana prasarana yang stabil, dasar ekonomi jelas, politik yang stabil. Dasar ekonomi MADANI yang pentingkan soal kebajikan rakyat, dasar-dasar ini tambah meyakinkan pelabur," kata beliau.


Dalam pada itu, Anwar mengingatkan kepada golongan muda supaya mengetepikan politik kebencian.


"Cukuplah dengan politik kebencian, bangkit bersama jadi warganegara yang baik tingkatkan ilmu, kuasai bidang yang baik, jadikan Malaysia negara yang dicontohi, dikagumi dunia," katanya.


Pada majlis sama, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM291,000 kepada 34 masjid dan 35 surau di dalam Parlimen Tambun yang diharapkan dapat membantu pihak jawatankuasa masjid dan surau untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti Ihya' Ramadan yang dirancang.


Perdana Menteri kemudiannya menunaikan solat maghrib berjemaah bersama tetamu yang hadir.


Sumber: Harian Metro


3 projek mega bakal angkat Perak antara negeri utama negara - PM


Comentarios


bottom of page