DENDA keseluruhan sebanyak RM2 juta dan 185 syarikat sudah didakwa di mahkamah dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Ir Omar Mat Piah berkata, sepanjang tempoh itu juga, pihaknya mengeluarkan sebanyak 672 kompaun dengan denda sebanyak RM997,500.
“Selain itu, JKKP juga mengeluarkan sebanyak 39,395 notis kepada majikan atas pelbagai kesalahan dari segi aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas meraikan pencapaian BP Petronas Acetyls Sdn Bhd (BPPA) yang diiktiraf ‘The Malaysia Book of Records’ (MBR) sebagai syarikat pertama yang beroperasi selama 20 tahun bekerja tanpa kemalangan (Lost Time Injury-LTI) di Mesra Mall dekat Chukai, hari ini.
Pengiktirafan itu diberi wakil MBR Edwin Yeoh Tiong Chin kepada Ketua Pegawai Eksekutif BPPA Mohd Roslan Ismail.
Omar berkata, JKKP sangat berbangga dengan pencapaian BPPA itu kerana ia membuktikan komitmen dan kesungguhan mereka dalam memastikan tahap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja sentiasa menjadi keutamaan sehingga dapat beroperasi selama 20 tahun tanpa kemalangan.
“Saya berharap semua majikan di Malaysia ini dapat mencontohi BPPA kerana dalam sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan yang efektif, pastinya produk dan perkhidmatan yang dihasilkan sesebuah organisasi akan mencapai tahap dan piawaian yang dikehendaki,” katanya.
Sementara itu, Mohd Roslan berkata, pengiktirafan dan penghargaan oleh MBR dan JKKP itu adalah khusus untuk 90 kakitangan BPPA dan 50 kontraktor yang menjadikan amalan kerja selamat sebagai satu budaya yang mesti dihormati bersama.
“Ini kerana dengan komitmen, kerjasama dan sistem kerja yang diamalkan selama ini menjadi faktor BPPA dapat beroperasi selama 20 tahun tanpa sebarang kemalangan walaupun tempat kerja kami mempunyai loji yang berkapasiti tinggi,” katanya yang menyifatkan pengiktirafan itu sebagai motivasi besar untuk mengekalkan kecemerlangan mereka pada masa akan datang.
Sumber: Harian Metro
Comentarios