top of page

18 kontraktor PBT Hi-Tech Kulim terima tawaran projek


KULIM 23 Jan. - Seramai 18 orang kontraktor termasuk tiga wanita telah mendapat surat tawaran kerja-kerja pembangunan sempena Majlis Cabutan Undi Bagi Kontraktor Berdaftar Dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di pejabat Taman Perindustrian Hi-Tech Kulim.


Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan serta Perumahan negeri, Tan Kok Yew berkata, setiap kontraktor yang terpilih itu menerima projek bernilai maksimum RM150,000.


Katanya, mereka adalah kumpulan pertama mendapat tawaran setelah PBT Hi-Tech Kulim memperkenalkan proses baharu dalam pemilihan.


"Semua kontraktor ini akan melakukan pelbagai kerja-kerja awam dan elektrik di dalam kawasan PBT Hi-Tech Kulim yang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM401,000.


"Pada tahun lepas, kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan lebih RM21 juta kepada Kedah bagi melakukan kerja-kerja seumpama itu, manakala kerajaan negeri pula sebanyak RM2 juta," katanya kepada pemberita di sini.


Yang turut hadir Yang Dipertua PBT Hi-Tech Kulim, Syed Khairol Anuar.


Menurut Kok Yew, pihaknya berharap setiap kontraktor menjalankan kerja dengan bersungguh-sungguh dan mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan PBT.


Kontraktor, Siti Aishah Abdul Karim, 37, dari Taman Selasih, Kulim berkata, dia gembira kerana syarikatnya, Akamoha Enterprise adalah antara yang berjaya mendapat surat tawaran kerja dikeluarkan oleh PBT Hi-Tech Kulim.


"Hanya tiga orang sahaja wanita yang mendapat surat tawaran kerja, saya berjanji akan membuat yang terbaik dalam menjayakan misi PBT Hi-Tech Kulim," katanya.


Sumber: Utusan


Comments


bottom of page