ISKANDAR PUTERI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini diberitahu kerja-kerja menaik taraf 140 stesen hidrologi selain pembinaan 107 stesen baharu di negeri ini sedang dijalankan dan dijangka siap tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri K Raven Kumar berkata kerja menaik taraf itu dilaksanakan menerusi Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) di bawah Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
"Kerja menaik taraf dan membina stesen baharu itu bagi meramalkan kejadian banjir tujuh hari lebih awal dan mengeluarkan amaran dua hari sebelum hari kejadian.
"Ia sekali gus membolehkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) membuat hebahan segera kepada kawasan terbabit dan semua agensi awam serta penyelamat bagi tujuan kesiapsiagaan operasi," katanya semasa sesi penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Beliau berkata pelepasan air empangan telah dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan aras empangan berada pada 20 peratus di bawah paras normal.
Menurutnya pelepasan air di beberapa empangan di negeri itu dibuat secara berperingkat sebelum Monsun Timur Laut (MTL) bermula Oktober lepas.
"JPS sentiasa komited dalam memberikan makluman awal kepada penduduk setempat bagi bersiap siaga daripada apa jua kemungkinan banjir.
"Jabatan itu juga akan memaklumkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah sekiranya operator empangan mendapati tahap kecemasan paras air mencapai aras yang telah tertulis tahap 2 di dalam Pelan Tindakan Kecemasan (EAP)," katanya.
Selain itu, katanya siren amaran juga akan diaktifkan dalam tiga fasa dengan fasa satu dan dua adalah apabila paras air empangan berada di paras amaran dan fasa ketiga adalah apabila ia berada di paras bahaya.
"Siren amaran ini berkeupayaan menjangkau hingga dua kilometer radius bergantung kepada keadaan topografi setempat," katanya.
Persidangan DUN Johor disambung Isnin ini susulan cuti umum iaitu Awal Ramadan (esok) dan Ahad, bagi menggantikan Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang juga jatuh pada esok.
Sumber: Astro Awani
Comments