top of page

13 projek tebatan banjir kurangkan risiko banjir Klang


Foto dirakamkan pada 12 NOVEMBER 2024. menunjukkan sekitar Jalan Meru, Bandar Bukit Raja, Klang dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat. - Foto arkib NSTP

SHAH ALAM: Sebanyak 13 projek tebatan banjir membabitkan lebih RM493 juta dilaksanakan di Klang bagi mengurangkan risiko banjir kawasan terbabit.


EXCO Infrastruktur Selangor, Izham Hashim, berkata tujuh projek dalam proses pelaksanaan iaitu projek tebatan banjir Sungai Kandis Fasa 2 (32 peratus), Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Rasau Fasa 2 (28 peratus), kerja menaik taraf sistem saliran Taman Melawis (66 peratus) dan menaik taraf sistem saliran dan struktur lembangan Sungai Rasau (77 peratus).


Katanya, tiga lagi projek membabitkan projek tebatan banjir Sungai Kembong (49 peratus), Sungai Pinang (52 peratus) serta membina kolam takungan banjir di Lebuhraya Grand Sepadu berhampiran Bukit Raja (22 peratus).


"Empat projek dalam fasa pra pelaksana ialah projek tebatan banjir di Sungai Batu Enam Sementa, menaiktaraf sistem saliran di Batu 4 Jalan Kapar dan Taman Klang Utama Fasa Dua; Batu 7 dan Batu 8 Jalan Bukit Kemuning serta Kampung Johan Setia.


"Semua 11 projek ini membabitkan peruntukan negeri sebanyak RM133.8 juta manakala dana persekutuan sebanyak RM359.7 juta membabitkan dua projek tebatan banjir iaitu Seri Muda dan Sungai Kapar yang dalam fasa pelaksanaan," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.


Beliau menjawab soalan yang Noor Najhan Mohamad Salleh (PN-Sementa) berhubung projek mitigasi banjir di Klang.


Izham yang juga ADUN Pandan Indah meminta semua pihak untuk bekerjasama dan menyelaraskan tugasan selain mengenal pasti projek tebatan banjir setiap lima tahun.


"Sebelum ini ada masalah komunikasi antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Ramai beranggapan banjir diurus JPS tapi sebenarnya ada bawah daerah, jalan kampung, parit kampung yang melibatkan PBT.


"Saya telah bertemu beberapa kali untuk menyelaras. Saya minta mereka menamakan projek menaik taraf sekurang-kurangnya lima tahun ke depan untuk kurangkan risiko banjir seperti yang dilakukan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi Pelan Tindakan Banjir Shah Alam (SASuD)," katanya.


Minggu lalu, lima kawasan di daerah Klang dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat berterusan. Kawasan itu ialah di Bandar Bukit Raja, Kampung Batu Belah, Rantau Panjang, Meru dan Padang Jawa.


Kommentare


bottom of page