Butterworth: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang menyita 13 loji dalam tapak pembinaan kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Sitaan dilakukan melalui Operasi Tapak Bina (OTP) susulan pemeriksaan ke atas 14 tapak pembinaan antara 27 Februari hingga 6 Mac lalu.
JKPP negeri melalui kenyataan berkata, operasi dijalankan bagi memastikan tahap pematuhan Akta Kilang dan Jentera 1967 dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
"Operasi juga bertujuan meninjau tahap keberkesanan langkah pencegahan diambil pihak kontraktor dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di tapak pembinaan yang dilawati.
"Pada masa sama, ia menumpukan kepada pengurusan KKP di tapak pembinaan, tanggungjawab pengurus projek, penubuhan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan (JKK), pengurusan kerja mengangkat dan mengawal selia aktiviti kerja di tempat tinggi serta lubang dan tepian terbuka," katanya.
JKKP negeri memaklumkan, sejumlah 49 Notis Larangan serta-merta, 11 Notis Penambahbaikan, 11 Surat Arahan dan 38 cadangan kompaun atas pelbagai kesalahan dan pelanggaran perundangan berdasarkan tumpuan operasi dikeluarkan sepanjang pemeriksaan terbabit.
Sumber: Berita Harian
13 loji dalam tapak pembinaan di Pulau Pinang disita tak patuh SOP
Comments