top of page

100 pembeli kecewa rumah terbengkalai sejak 10 tahun


100 pembeli kecewa rumah terbengkalai sejak 10 tahun Utusan Malaysia www.utusan.com.my
https://www.utusan.com.my/nasional/2022/09/100-pembeli-kecewa-rumah-terbengkalai-sejak-10-tahun/

KUALA TERENGGANU: Hasrat lebih 100 pembeli rumah di projek perumahan Fasa 2, Bandar Baru Kemang Tiruk, Serada, di sini untuk menduduki rumah sendiri tidak kesampaian apabila projek itu gagal disiapkan pemaju dan ditinggalkan dalam keadaan terbengkalai sejak 10 tahun lalu.


Projek perumahan yang melibatkan banglo, rumah berkembar dan teres itu mula dibina pada 2010 dan dijadual siap dua tahun kemudian.


Kebanyakan rumah yang dibina itu hanya disiapkan antara 45 peratus hingga 75 peratus.


Seorang pembeli projek perumahan itu, Fazila Abdul Wahab, 42, yang merupakan kakitangan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai, di sini, berkata, dia sedih apabila impiannya untuk tinggal di rumah sendiri bersama keluarga tidak tercapai selepas banglo yang dibeli pada harga RM192,000 gagal disiapkan pemaju.


Menurutnya, dia mula membayar pinjaman perumahan sebanyak RM1,050 sebulan menerusi potongan gaji bermula dari 2012 sehingga sekarang, namun rumah tersebut belum dapat diduduki.


“Pada masa ini, saya terpaksa tinggal di kuanters Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai dan tidak dapat membeli rumah lain kerana masih berhutang dengan pinjaman perumahaan kerajaan.


“Nasib saya dan pembeli lain tidak ubah seperti sudah jatuh ditimpa tangga kerana bukan saja projek perumahan terbengkalai, kami turut dibebani dengan bayaran bulanan pinjaman perumahan oleh pihak bank,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Seorang lagi pembeli, Azro Mukhtar, 40, berkata, dia berharap dapat tinggal di rumah teres berharga RM165,000 yang dibeli itu selepas bersara sebagai anggota tentera sebelum ini.


Namun, katanya, harapan itu tidak kesampaian apabila rumah tersebut terbengkalai selepas pemaju menyiapkan rumahnya kira-kira 45 peratus sahaja.


“Kebanyakan pembeli rumah tersebut beberapa kali membuat laporan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung masalah yang dihadapi mereka sebelum ini, namun tiada tindakan diambil untuk membantu menyelesaikan masalah dihadapi itu,” ujarnya.


Dalam pada itu, seorang pembeli rumah bagi projek perumahan Fasa 1 Bandar Baru Kemang Tiruk, Serada, Afidzan Latif, 45, pula memberitahu, beberapa pembeli terpaksa menduduki rumah tersebut walaupun hanya disiapkan kira-kira 95 peratus.


Malah katanya, pembeli terbabit terpaksa mengeluarkan modal sendiri untuk menyiapkan rumah masing-masing.


“Lebih mengecewakan mereka terpaksa mendiami rumah tersebut yang tidak mempunyai sijil layak menduduki (CF) kerana sistem pembentungannya belum sempurna,” katanya.


Sumber: Utusan


Comments


bottom of page