PUTRAJAYA: Pembinaan jalan raya menggunakan teknologi Cuplump Modified Bitumen (CMB) sudah mencapai kemajuan di mana 10 peratus daripada 202 kilometer (km) jalan raya di seluruh negara dirancang mengguna pakai teknologi itu.
Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM), Datuk Dr Zairossani Mohd Nor, berkata pembinaan berkenaan adalah daripada peruntukan RM100 juta yang diumumkan kerajaan pada Belanjawan 2019.
“Penggunaan teknologi CMB bagi jalan raya yang dikenal pasti ini sudah pada tahap 10 peratus dan akan diteruskan sehingga awal tahun depan.
“Proses pembinaan jalan ini mengambil masa berikutan kesulitan untuk menentukan jalan mana yang bersesuaian untuk penggunaan teknologi terbabit,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara LGM dan Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) di sini, hari ini.
Majlis MoU itu disaksikan Menteri Industri Utama, Teresa Kok. Zairossani mewakili LGM manakala IRDA diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ismail Ibrahim.
Sementara itu Kok berkata, selain penggunaan di dalam negara, kementeriannya menerusi agensi LGM turut merancang untuk mengeksport teknologi CMB ke pasaran luar negara termasuk China tidak lama lagi.
“China mengeluarkan lebih banyak getah berbanding Malaysia, tapi bila kami melawat China pada tahun lalu, kami ada menemui pihak di Hainan, mereka agak tertarik dengan teknologi CMB kita dan turut menyatakan keinginan untuk mempelajarinya,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas MoU berkenaan, Ismail berkata kerjasama itu adalah selari dengan usaha IRDA menjadikan Iskandar Malaysia sebagai bandaraya hijau dan mapan.
“Kerjasama ini bagi mengkaji teknik pembinaan jalan inovatif dengan menggunakan getah asli, yang akan menghasilkan infrastruktur lebih baik
“Kami juga berharap kerjasama ini membantu meningkatkan penggunaan teknologi mesra alam hasil penyelidikan LGM di samping menyokong aspirasi IRDA dalam pembangunan bandar moden lagi mapan di Iskandar Malaysia,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments