TEMERLOH - Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengenal pasti 10 lokasi banjir di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) selepas empat kejadian berlaku di kawasan itu sejak ia dibuka pada 2004.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, 10 lokasi tersebut adalah di Kilometer (KM) 84.7, KM112, KM113, KM114, KM115, KM116, KM117, KM124, KM126 dan KM198.
Menurutnya, empat lokasi lain juga dikenal pasti berisiko dinaiki air iaitu di KM156, KM178, KM242 dan di Ramp A, Persimpangan Jabor.
"Kejadian banjir ini berlaku pada 2007, 2014 dan dua kali pada 2021 iaitu pada Januari serta Disember yang menyebabkan lebuh raya ini ditutup kepada semua jenis kenderaan untuk beberapa hari.
"Bagi menangani masalah banjir daripada berulang, kerajaan telah mengarahkan kerja-kerja tebatan banjir untuk dilaksanakan dengan kadar segera di 14 lokasi sepanjang jajaran lebuh raya ini," kata beliau dalam hantaran Facebook pada Rabu.
Beliau berkata sedemikian sempena tinjauan projek tebatan banjir LPT1 di Temerloh.
Nanta berkata, pada masa kini, kerja tanah di dua pakej iaitu di KM117 dan KM124 sedang giat dijalankan di tapak dan dijangka siap pada Oktober 2024.
Katanya, kos keseluruhan projek tebatan banjir ini adalah sebanyak RM200 juta.
Sumber: Sinar Harian
10 lokasi banjir dikenal pasti di LPT1 - Nanta
Comments