Terdapat 10 cabaran ekonomi Malaysia sudah bertahun-tahun dan berulang kali dibincangkan semua pemimpin negara yang perlu ditangani segera. Ada usaha dibuat tetapi masih belum ada penyelesaian mantap.
Pertama, Malaysia berhasrat menjadi negara maju, mengamalkan teknologi moden dan menghasilkan produk serta perkhidmatan bernilai tinggi. Soalnya, bersediakah industri dengan keupayaan melaksanakannya?
Kini 98 peratus daripada perusahaan berdaftar ialah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan sekitar 66 peratus tenaga kerja.
Umumnya, PMKS mempunyai kekangan kewangan dan sumber manusia untuk mengamalkan teknologi terkini. Laporan awal audit Industry4WRD menggusarkan kesediaan mengaplikasi teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).
Kita menyediakan Rancangan Malaysia setiap lima tahun dengan terkini, RMK12 tetapi tiga tema, empat pemangkin dasar dan 11 pemacu perubahannya tidak lagi kedengaran.
Belanjawan juga tidak diselaraskan dengan rancangan lima tahun yang sering berlalu tanpa penilaian jitu, apa dicapai, tidak dicapai dan halangannya.
Kedua, pendapatan dan kos sara hidup. Malaysia menyasarkan seawal 2026 kemungkinan mencapai status negara berpendapatan tinggi.
Namun, Jabatan Perangkaan melaporkan jumlah upah pekerja hanya 34.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), jauh lebih rendah daripada Singapura, iaitu 39.4 peratus; Korea Selatan (47.9 peratus) dan Amerika Syarikat (54.2 peratus). B40 hanya menerima 16 peratus daripada jumlah ini.
Pendapatan malar tidak meningkat sepadan kenaikan harga menjatuhkan kuasa beli rakyat. Kenaikan ketara harga makanan memburukkan lagi keadaan. Kos sara hidup meningkat, menekan kualiti kehidupan.
Tiba masa kerajaan menilai manfaat pertumbuhan ekonomi tidak sampai kepada semua lapisan masyarakat. Pendapatan penengah di sembilan negeri terkebelakang lebih rendah daripada pendapatan penengah negara (RM5,873).
Hanya Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Melaka serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terkehadapan. Ketidakseimbangan pembangunan wilayah sangat ketara. Adakah penubuhan pihak berkuasa koridor ketika RMK9 (2006-2010) berkesan?
Ketiga, tenaga kerja mahir dan lambakan pekerja asing. Penyediaan tenaga kerja mahir penting jika Malaysia berhasrat menarik dan mengekalkan pelaburan berkualiti tinggi dan menjadi lokasi pilihan pelaburan global.
Kita berhadapan cabaran penawaran dan permintaan tenaga mahir. Tenaga kerja berkelulusan tertiari tidak berupaya mendapat pekerjaan sesuai kelulusan.
Pada 2020, seramai 4.56 juta tenaga kerja mempunyai kelulusan pendidikan tertiari. Kini seramai 1,891 juta daripada yang bekerja dianggap 'under employed', tidak sepadan kelulusan.
Sebelum pandemik, hanya 103,000 pekerjaan baharu dicipta, sedangkan hampir 300,000 graduan baharu memasuki pasaran setiap tahun.
Lebih merisaukan, kita sudah lali dengan lambakan jutaan pekerja asing tanpa kemahiran. Ekonomi murah bersandarkan tenaga buruh memikat pekerja asing tanpa kemahiran.
Pekerjaan 3D (Dirty, Dangerous, Difficult) dan kerenah pekerja tempatan menjadi alasan untuk terus membawa masuk pekerja asing, sedangkan teknologi jarang sekali menjadi penyelesaian.
Keempat, kekangan fiskal dan hutang negara. Perdana Menteri memaklumkan liabiliti dan hutang kini mencecah RM1.5 trilion, iaitu 82 peratus daripada KDNK.
Hutang Kerajaan Persekutuan, 60.4 peratus daripada KDNK, manakala hutang 1MDB berjumlah RM18.2 bilion, selebihnya untuk apa?
Bagi penilaian betul, hutang mesti disaring tujuannya. Tidak salah berhutang kalau diguna untuk pembangunan menghasilkan pulangan dan kerajaan mampu serta mempunyai rancangan membayar balik.
Adakah kerajaan mempunyai sasaran khusus, tahap hutang optimum untuk Malaysia capai tanpa merencat proses pembangunan?
Kelima, hasil dan perbelanjaan awam. Kerap dinyatakan jumlah hasil kerajaan tidak meningkat sepadan peningkatan saiz ekonomi negara (KDNK) dan perbelanjaan, terutama perbelanjaan mengurus (OE) semakin meningkat.
Emolumen dan persaraan mencecah 50 peratus perbelanjaan mengurus. Penjawat awam kini sekitar seramai 1.6 juta orang pada 2020 berbanding sekitar 1 juta pada 2010. Apakah sebenarnya saiz perkhidmatan awam diperlukan dan sesuai untuk Malaysia?
Jumlah subsidi hampir mencecah RM80 bilion. Matlamat subsidi bersasar sudah lama dilaungkan. Apakah komitmen untuk memastikannya dilaksanakan berkesan?
Asas cukai negara sangat rendah. Namun, memperluaskan asas cukai umpama 'bunuh diri' dari sudut politik. Kita terperangkap. Kutipan cukai hanya 11.2 peratus KDNK negara, setanding negara pendapatan rendah.
Keenam, pembaziran dan ketirisan perbelanjaan awam. Ketua Audit Negara hampir setiap tahun melaporkan pembaziran, ketirisan dan ketidakcekapan perbelanjaan awam mencecah ratusan juta ringgit.
Tiada kedengaran keresahan luar biasa. Apakah tindakan susulan daripada laporan ini? Ketara kecekapan perbelanjaan awam masih menjadi hambatan besar.
Ketujuh, sekuriti makan dan pertanian. Kita 'meninggalkan' pertanian atas salah faham tidak utama dalam mencapai status negara.
Amalan teknologi pertanian moden sangat terhad, produktiviti rendah dan pertanian sering dikait kemiskinan dan kegiatan luar bandar.
Penyelidikan, pembangunan dan inovasi (R&D&I) serta pendidikan pertanian tidak diutamakan. Kerisauan terhadap kecukupan makanan bermusim, apabila ada kekurangan bekalan sahaja, tetapi tiada penyelesaian jangka panjang.
Di mana Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0 menggariskan teras pertama 'Mendukung Permodenan dan Pertanian Pintar', kertas dan laporan isu sekuriti makanan serta pembabitan 'mega dan berimpak' syarikat berkaitan kerajaan (GLC) semasa RMK9?
Inisiatif Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) tidak mendapat komitmen serius dan tiada pemantauan serta pelaporan umum.
Kelapan, kualiti sistem pendidikan masih dibelenggu pelbagai cabaran sedangkan beberapa kali majlis, pasukan atau badan penasihat ditubuhkan, masih tidak berubah. Kita berbincang silibus, beban guru dan kaedah penilaian pelajar sudah bertahun.
Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025, bergema masa dilancarkan dengan 11 Anjakan tetapi tiada siapa merujuknya.
Kesembilan, kos perumahan, harga rumah dan hutang isi rumah meningkat, manakala simpanan rendah. Rakyat akhirnya hidup dalam rumah 'sangkar burung' seperti di Hong Kong yang harga dan keluasan tidak masuk akal.
Persekitaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bandar banyak daif, manakala persekitaran kehidupan berkemungkinan menyebabkan kemiskinan bandar semakin buruk.
Tahap keberhutangan isi rumah tinggi sudah lama dilaporkan dan simpanan rendah meningkatkan kerentanan kehidupan, khususnya berpendapatan rendah. Bank Negara (BNM) melaporkan sehingga Disember 2021, nisbah hutang isi rumah berjumlah RM1.4 trilion, mencecah 89 peratus KDNK, antara tertinggi di rantau ini.
Ke-10, perhatian terhadap ekonomi dan pembangunan Bumiputera tidak lagi kedengaran. Mungkin terasa malu untuk mengangkat ehwal Melayu dan pribumi, selain ada sifatkan sebagai rasis.
Betul, semua rakyat perlu dibantu tetapi tidak bererti hak dan pembangunan Bumiputera diketepikan. Kita tiada pangkalan data Bumiputera lengkap boleh disandarkan secara tepat untuk penilaian ekonomi, pendidikan, sosial, ekuiti, hak milik harta, pemilikan rumah dan simpanan.
Di manakah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), MARA dan pelbagai agensi pembangunan Bumiputera lain dan bilakah kali terakhir Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) bermesyuarat?
Penulis adalah Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM)
Sumber: Berita Harian
Comentários