top of page

1,988 tandas awam di bawah PBT capai penarafan tiga bintang ke atas


Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kesemua 1,988 buah tandas awam milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mencapai penarafan tiga bintang dan ke atas berdasarkan statistik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sehingga Oktober tahun ini.


Timbalan Menteri, Datuk Ismail Abd. Muttalib berkata, semua PBT disaran mempergiatkan lagi pelaksanaan Kempen Tandas Bersih dan penarafan bintang tandas awam di kawasan seliaan masing-masing bagi memastikan perkara ini berterusan.


“Ini supaya semua tandas awam termasuk tandas awam yang disediakan oleh pihak swasta sentiasa berada dalam keadaan bersih, selesa dan selamat digunakan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Kebangsaan 2020 bertemakan ‘Komuniti Prihatin, Tandas Bersih’ di Dewan Kristal, KPKT di sini hari ini.


Majlis Sambutan Hari Tandas Sedunia itu buat julung-julung kalinya ditayangkan secara maya di Facebook rasmi KPKT.


Sementara itu, Ismail berkata, penggunaan tandas juga tidak lari daripada risiko jangkitan Covid-19 kerana jangkitan boleh berlaku di mana-mana tempat awam dan kawasan-kawasan yang tidak bersih.


“Oleh itu, semua pengguna tandas awam perlu mengamalkan etika penggunaan tandas mengikut norma baharu seperti memakai pelitup muka, membuat pemeriksaan suhu badan dan melengkapkan maklumat diri menggunakan aplikasi MySejahtera sebelum memasuki tandas awam,” katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata, tanggungjawab menjaga kebersihan tandas awam tidak boleh diletakkan pada pihak PBT atau kontraktor pembersihan semata-mata sebaliknya, semua pihak perlu memainkan peranan dalam memastikan kemudahan awam di negara ini sentiasa berada dalam keadaan bersih dan selamat.


“Orang ramai juga perlu memainkan peranan dengan membudayakan amalan penjagaan dan penggunaan tandas secara beretika.


“Ini secara langsung akan mewujudkan masyarakat sejahtera dan persekitaran sihat sekali gus mencerminkan imej negara yang baik di mata pelancong serta mempertingkatkan nilai sosio ekonomi negara,” katanya.


Sumber: Kosmo!


54 views

Comments


bottom of page