BANDARAYA MELAKA 3 Disember – Sebanyak 1,675 projek pembangunan melibatkan peruntukan negeri bernilai RM307 juta telah berjaya dilaksanakan di Melaka bagi tempoh tahun 2020 hingga 2023.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad berkata, hampir semua agensi serta jabatan yang menerima peruntukan pembangunan telah melaksanakan kajian penilaian ‘outcome’ terhadap projek-projek selian masing-masing.
“Ingin saya kongsikan, berdasarkan masa 2020 hingga 2023, sejumlah 1,675 buah projek pembangunan yang melibatkan peruntukan negeri dengan nilai berjumlah keseluruhan RM307 juta telah berjaya dilaksanakan.
“Buat Melaka, jumlah ini cukup signifikan dalam memberi pulangan kemakmuran khususnya sektor pembangunan negeri dan sewajarnya kajian penilaian outcome dilaksanakan terhadap projek atau program tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Penilaian Pembangunan Negeri Melaka Tahun 2024 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Md Azhan Samat.
Jelasnya, rekod prestasi perbelanjaan turut mencatatkan peningkatan dengan melepasi sasaran 90 peratus ke atas selama empat tahun berturut-turut.
“Rekod prestasi perbelanjaan mencatat peningkatan konsisten selama empat tahun berturut-turut dan pada tahun 2023, pencapaian Negeri Melaka telah mencatatkan perbelanjaan pada kadar 98.34 peratus.
“Alhamdulillah, sejurus sahaja saya menggalas tugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, saya mendapati prestasi pelaksanaan projek amat memberangsangkan melalui data-data yang dilaporkan,” ujarnya.
Tambahnya, pada tahun akan datang, perancangan pembangunan hendaklah berpandukan pendekatan Outcome Based Development, agar ianya dapat menyokong secara langsung dasar Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ2035) yang merangkumi 12 flagship di bawahnya.
Sementara itu, penganjuran konvensyen tersebut merupakan fasa akhir penilaian dan pada tahun hadapan Majlis Anugerah Pembangunan Negeri Melaka akan diadakan bagi menobatkan jabatan atau agensi terbaik dalam aspek pengurusan projek dan penilaian outcome.
Sumber: Melaka Hari Ini
Comments