Sep 5, 2023

HSSI perunding utama pelan induk Lapangan Terbang Subang

Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.

KUALA LUMPUR: HSS Integrated Sdn Bhd (HSSI), syarikat bersekutu HSS Engineers Bhd (HEB) dilantik sebagai perunding utama bagi pelan induk perancangan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang oleh Malaysia Airports Sdn Bhd (Malaysia Airports).

HEB berkata, HSSI sudah menerima surat anugerah daripada Malaysia Airports sebagai perunding utama (Jurutera Awam & Struktur) bagi penyediaan, penyerahan dan kelulusan bagi Pindaan Pelan Susun Atur Induk (Pelan Induk Perancangan) untuk Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.

Ia berkata, HSSI juga turut dianugerahkan kontrak bagi kerja infrastruktur dan bersekutu seterusnya untuk Fasa 2 dan Fasa 3.

Katanya, nilai kontrak yang diperolehi kumpulan dianggarkan RM68.52 juta atau 7.10 peratus daripada jumlah kos kerja projek itu sebanyak RM965 juta.

"Tempoh kontrak akan berjalan selama lima tahun bermula daripada 29 Ogos 2023.

"Berdasarkan pengaturan gabungan eksklusif antara HSSI dan HSS Engineering Sdn Bhd (HSSE), anak syarikat milik penuh HEB, HSSI dan HSSE akan bekerjasama secara eksklusif untuk melaksanakan dan menyelesaikan kontrak," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

HEB berkata, kontrak terbaharu itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 sehingga 31 Disember 2028.

Katanya, projek itu juga tidak akan memberi kesan kepada modal saham dan/atau struktur pegangan saham HEB.

Namun, katanya faktor risiko yang mempengaruhi kontrak masih wujud tetapi tidak terhad kepada risiko pelaksanaan seperti pergantungan kepada jadual pelaksanaan dan kemajuan projek memandangkan peranan HSSI seperti yang diterangkan di atas.

"Walau bagaimanapun, HEB sudah membina rekod prestasi dan kepakarannya dalam melaksanakan projek berkenaan.

"Oleh itu, Lembaga Pengarah percaya bahawa HEB mampu mengurangkan faktor risiko," katanya.

Sumber: Berita Harian

HSSI perunding utama pelan induk Lapangan Terbang Subang

    19